Negara jiran kita, Indonesia telah mengadakan pilihan raya presiden pada tahun ini. Presiden Joko Widodo atau mesra dipanggil “Jokowi” tidak dibenarkan lagi untuk bertanding pada pilihan raya kali ini kerana perlembagaan Indonesia hanya membenarkan seorang presiden untuk berkhidmat untuk dua penggal sahaja, iaitu hanya 10 tahun sahaja tempoh perkhidmatan.
Pilihan raya presiden atau dipanggil Pilpres dalam bahasa Indonesianya menarik untuk kita melihat kerana pada kali ini ianya melibatkan pertandingan antara tiga penjuru. Antara calon yang bertanding untuk pilihan raya presiden pada kali ini ialah Anies Baswedan, mantan Menteri Pendidikan di era Jokowi dan mantan gabenor Jakarta, Prabowo Subianto, Menteri Pertahanan dan merupakan calon presiden pada pilihan raya presiden 2019 menentang Jokowi dan Ganjar Pranowo yang merupakan gabenor Jawa Tengah.
Calon pasangan nombor 1 bagi pilihan raya presiden Indonesia adalah Anies Baswedan di mana beliau bergandingan bersama dengan Muhaimin Iskandar dari Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) dalam pilihan raya kali ini.
Kebanyakkan daripada masyarakat Indonesia melihat bahawa pasangan Anies-Muhaimin atau mesra dipanggil “AMIN” ini akan membawa perubahan dan kemajuan kepada negara Indonesia sekiranya mereka dipilih menjadi Presiden dan wakil presiden Indonesia pada tahun ini. Selain itu, Anies Baswedan juga mendapat sokongan daripada golongan akademik dan intelektual di mana Anies sendiri merupakan seorang mantan ahli akademik dan pernah berkhidmat sebagai rektor di Universiti Paramidana. Anies Baswedan dan Muhaimin Iskandar mendapat dokongan daripada beberapa parti yang utama seperti Parti Nasional Demokrat (Nasdem), Parti Kebangkitan Bangsa (PKB), Parti Keadilan Sejahtera (PKS) dan Parti Ummat.
Seterusnya, pasangan calon nombor 2 yang akan bertanding pada pilihan raya kali ini ialah Prabowo Subianto dan Gibran Rakabuming Raka. Prabowo Subianto merupakan bekas panglima Kopassus dalam Angkatan Tentera Indonesia dan sekarang menjawat jawatan sebagai Menteri Pertahanan. Ini merupakan cubaan kali keempat bagi Prabowo untuk bertanding sebagai calon pilihan raya presiden pada tahun ini. Calon wakil presiden bagi Prabowo Subianto bagi kempen pilihan raya kali ini juga agak unik di mana Prabowo memilih Gibran Rakabuming Raka, anak Presiden Jokowi sebagai pendampingnya bagi pilihan raya kali ini sekaligus menimbulkan spekulasi bahawa pencalonan Gibran mendapat restu daripada Presiden Jokowi sekaligus mendukung pasangan calon nombor 2 ini.
Kebanyakkan survey atau tinjauan yang dilakukan meramalkan bahawa Prabowo akan memenangi pilihan raya presiden bagi tahun 2024 ini. Gabungan Prabowo-Gibran ini disokong oleh koalisi Indonesia Maju yang diketuai oleh Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra), Parti Demokrat, Parti Solidaritas Indonesia (PSI), Parti Amanat Nasional (PAN), dan Parti Golongan Karya (Golkar)
Calon yang ketiga pula iaitu Ganjar Pranowo yang merupakan gabenor Jawa Tengah sejak dua penggal berturut-turut, bermula dari tahun 2013 sehingga 2023. Ganjar Pranowo bergandingan dengan Mahfud MD yang merupakan Menteri Pentadbiran dan Birokrasi Indonesia dalam pentadbiran Presiden Joko Widodo dan juga merupakan mantan Mahkamah Konstitusi (MK) dari tahun 2008 hingga tahun 2013. Pencalonan Ganjar Pranowo dan Mahfud MD ini disokong oleh gabungan Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) yang dipimpin oleh bekas presiden Indonesia, Megawati Soekarnoputri, Parti Hati Nurani Rakyat (Hanura) yang dipimpin oleh Jeneral Wiranto dan Parti Persatuan Pembangunan (PPP).
Ketiga-tiga calon presiden tersebut tidak dinafikan mempunyai banyak isu dan kontroversi yang membelenggu mereka. Ditambah lagi ianya dilakukan ketika musim pilihan raya sedang berlangsung. Anies Baswedan misalnya dianggap oleh pihak lawan cuba untuk membawa naratif politik identiti ke dalam kempen pilihan raya kali ini. Anies dilihat cuba untuk mendapatkan sokongan daripada penduduk Indonesia terutama sekali daripada majoriti penduduk beragama Islam. Ini kerana Indonesia merupakan negara yang mempunyai majoriti penduduk paling ramai sekali yang beragama Islam. Sebagai contoh, semasa kempen pilihan raya gabenor Jakarta pada tahun 2017, beliau menggunakan sentimen agama di mana ketika itu terdapat isu penghinaan agama Islam yang diduga dilakukan oleh pihak lawan ketika itu dan Anies menggunakan peluang tersebut sebagai modal kempen pilihan raya ketika itu untuk menarik orang untuk mengundi beliau dan hasilnya, beliau memenangi pilihan raya tersebut. Jadi, untuk pilihan raya kali ini, Anies berpasangan dengan Muhaimin Iskandar atau mesra dipanggil “Cak Imin” ini sebenarnya dilihat sebagai salah satu strategi daripada Anies Baswedan yang mahu menarik undi daripada masyarakat Islam tradisional yang hidup di pendalaman atau di pelusuk kampung di Indonesia khususnya di kepulauan Jawa.
Isu dan kontroversi yang dihadapi oleh pasangan Prabowo-Gibran ini merupakan antara isu yang paling banyak liputan daripada media Indonesia dan media luar. Prabowo dengan isu pelanggaran Hak Asasi Manusia (HAM) yang tidak pernah lekang dan selesai darinya sejak dari tahun 1998 lagi yang dikaitkan dengannya sejak beliau menjadi panglima Kopassus selain merupakan menantu kepada mantan presiden Indonesia kedua, Almarhum Soeharto. Gibran pula sepatutnya tidak dibenarkan untuk bertanding sebagai calon wakil presiden kerana ianya bertentangan dengan undang-undang negara tersebut di mana hak untuk mencalonkan diri sebagai calon presiden atau wakil presiden ialah berumur 40 tahun. Namun, Mahkamah Konstitusi pada November tahun lepas telah menggubal kembali undang-undang tersebut dengan membenarkan Gibran Rakabuming Raka yang berumur 36 tahun untuk menjadi calon wakil presiden mendampingi Prabowo. Ditambah pula dengan Mahkamah Konstitusi diketuai oleh Anwar Usman yang merupakan ayah saudara kepada Gibran sendiri. Jadi, dari sini kita dapat lihat bahawa terdapat pengaruh yang digunakan oleh pemerintah terhadap mahkamah yang tertinggi untuk melakukan keputusan yang semestinya memberi keuntungan politik secara besar kepada Gibran untuk bertanding.
Untuk calon pasangan nombor 3 iaitu Ganjar- Mahfud, isu yang dikaitkan dengan Ganjar ialah mengenai krisis kampung Wadas di Purworejo yang berlaku ketika Ganjar masih lagi menjawat jawatan sebagai gabenor Jawa Tengah ketika itu. Ganjar dituduh memaksa penduduk kampung untuk menerima dan bersetuju dengan projek pembangunan kerajaan yang dilakukan di situ walaupun ianya memberi kesan jangka panjang kepada kampung tersebut. Meskipun krisis tersebut telah diselesaikan, namun isu ini telah dibangkitkan kembali oleh pihak lawan sebagai satu serangan ke arah pasangan calon nombor 3 ini. Selain itu, Ganjar Pranowo juga dilihat oleh sesetengah pihak hanya berperanan sebagai pak turut kepada partinya sendiri sehingga dilabel sebagai “petugas partai”. Ini kerana Ganjar dilihat sebagai seorang yang hanya menurut perintah orang atasan ataupun boss besar parti iaitu Megawati Soekarnoputri yang mencadangkan supaya Ganjar Pranowo dipilih sebagai calon presiden daripada PDIP supaya dapat apabila Ganjar menang nanti ini, beliau akan memerintah Indonesia dengan mengikut telunjuk Megawati sendiri.
Kesimpulannya, tidak kira siapa pun yang menjadi presiden Indonesia selepas ini, kemajuan dan pembangunan perlu diteruskan untuk memberi kesejahteraan kepada penduduk Indonesia. Indonesia juga bakal menjadi negara keempat ekonomi terbesar di dunia menjelang tahun 2050. Maknanya segala persiapan untuk menuju ke arah itu perlu dilakukan bermula sekarang andai mahu mencapai status negara ekonomi terbesar. Di samping itu, pemindahan ibu negara daripada Jakarta ke Kalimantan haruslah diteruskan dan tidak perlu dibatalkan kerana ianya akan memberi kesan jangka panjang sekiranya presiden baharu nanti yang dipilih mengambil keputusan untuk membatalkan pemindahan ibu negara terbabit. Ditambah pula dengan kewujudan ibu negara baharu itu juga sebenarnya akan memberi limpahan ekonomi yang meluaskan kepada Malaysia terutama sekali dari Sarawak dan Sabah dari segi peluang pekerjaan yang banyak dan ianya dapat mendorong pekerja dari Sabah dan Sarawak untuk datang dan bekerja.
(Artikel ini adalah tulisan saudara Naufal Durokhman dan tidak semestinya mencerminkan pandangan pihak Solidaritas)
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Solidaritas.