20 Tahun Sejak 9/11 Dan Perang Terhadap Keganasan

Saya masih ingat lagi saat pertama saya mengetahui tentang peristiwa 9/11. Sewaktu itu saya masih belajar, tapi berada di kampung kerana cuti semester. Oleh kerana tiada media sosial ketika itu walaupun khidmat Internet dari TMnet sudah ada, maka saya luangkan masa menonton Dunia Jam 10.

Sebaik sahaja berita bermula, allahyarham Farith Ismeth Emir terus sahaja menyampaikan berita yang mengejutkan tentang sebuah kapal terbang yang melanggar bangunan World Trade Center di New York, Amerika Syarikat (AS). Pada ketika itu, sangkaan semua adalah ianya satu kemalangan. Namun selang beberapa minit ketika berita masih berkisar tentang apa yang berlaku di New York, terpampang di kaca televisyen kapal terbang kedua merempuh bangunan World Trade Center yang lagi satu. Dan ketika itu seluruh dunia menyedari bahawa apa yang berlaku bukan lagi kemalangan tapi satu serangan terancang oleh teroris.

11 September 2001, dunia menjadi saksi ke atas serangan teroris paling buruk dalam sejarah yang mengorbankan hampir 3,000 nyawa melibatkan empat buah kapal terbang komersil dan sasaran di dua buah bangunan World Trade Center dan pejabat Pentagon di Washington DC.

Esoknya saya pulang ke universiti di Arau, Perlis. Sepanjang perjalanan dari Ipoh hingga ke Arau, saya mencari naskhah surat khabar untuk dibeli dan disimpan tetapi semuanya habis diborong kerana ramai yang mahu mengetahui tentang serangan 9/11.

20 Tahun Sebelum 9/11

Rata-rata ramai yang terkejut apabila 9/11 berlaku. Walaupun serangan teroris kerap disasarkan ke atas AS, tetapi tiada siapa menyangka serangan teroris pada skala yang ditonjolkan dalam 9/11. Ia sesuatu yang di luar pemikiran ramai, apa lagi mengambil kira kompleks dan mencabarnya untuk sesiapa melakukan operasi teroris sedemikian.

Namun itulah kemuncak yang berlaku ke atas AS. Dan kemuncak ini adalah kesan dari 20 tahun lamanya negara Uncle Sam itu menimbulkan rasa tidak senang yang menjerumus kepada dendam khususnya di kalangan penganut agama Islam. Ia bermula dari penglibatan secara tidak langsung ASt di Aghanistan ketika Perang Soviet-Afghanistan.

Walaupun AS membantu perjuangan Mujahidin di Afghanistan dalam mengusir keluar penjajah Kesatuan Soviet, namun ianya tidaklah bermakna AS dilihat sebagai sekutu yang baik. Polisi luar negara yang banyak menyebelahi Israel masih menjadi duri dalam daging untuk pejuang Mujahidin dan umat Islam keseluruhannya menerima AS sebagai rakan seperjuangan.

Berundurnya Soviet dari Afghanistan, diikuti runtuhnya Tembok Berlin dan berakhirnya era Perang Dingin memperlihatkan peranan baru AS sebagai kuasa besar tunggal merangkap ‘polis dunia’. Tetapi serangan Iraq ke atas Kuwait dan Perang Teluk yang menyusul dilihat sebagai satu agenda AS dan sekutunya untuk menguasai tanah Arab dan sumber minyak.

Pecahnya Yugoslavia yang menjerumus kepada Perang Bosnia pula menyaksikan kegagalan AS memainkan peranan ‘polis dunia’ untuk campur tangan menyelamatkan umat Islam Bosnia dari kekejaman pengganas Serbia. Di Somalia pula, satu lagi negara Islam, campur tangan AS mengundang rasa tidak puas hati golongan ekstremis dan teroris.

Beberapa siri serangan teroris ke atas aset Amerika Syarikat berlaku dalam dekad 1990-an. Pengeboman kedutaan AS di Nairobi, Kenya dan Dar es Salaam, Tanzania berlaku pada tahun 1998; diikuti pula serangan ke atas kapal perang USS Cole pada tahun 2000. Kesemua serangan teroris ini adalah bukti jelas rasa dendam oleh kumpulan ekstremis tertentu kepada negara Uncle Sam itu.

Kesemua serangan teroris ini tidak mungkin dapat dilaksanakan jika tidak kerana silap AS sendiri yang menyuburkan terorisme di Afghanistan. Selepas pengunduran tentera Soviet pada 1989, Afghanistan ditinggalkan tanpa sebarang pelan pemulihan dirangka oleh AS. Negara itu terjebak dalam kancah perang saudara, hinggalah kumpulan Taliban akhirnya menguasai Afghanistan pada tahun 1996.

Penguasaan Taliban menjadikan Afghanistan ‘syurga’ buat kumpulan teroris, dan ia digunakan sepenuhnya oleh kumpulan Al Qaeda pimpinan Osama ben Laden. Hampir semua serangan teroris ke atas AS beberapa tahun sebelum 9/11 adalah dirangka oleh Al Qaeda dan ben Laden sendiri.

Kemuncak pada serangan ini adalah pada 11 September 2001, apabila Al Qaeda melancarkan serangan teroris terburuk dalam sejarah yang menumbangkan dua bangunan World Trade Center, sebahagian dari Pentagon dan memusnahkan 4 buah pesawat komersil serta ribuan nyawa yang tidak berdosa.

20 Tahun Selepas 9/11

Pasca 9/11, AS melalui Presiden George W. Bush melancarkan War On Terror atau Perang Terhadap Keganasan. Afghanistan, Iraq, Yemen dan Syria antara negara Islam yang menjadi mangsa serangan AS atas nama membasmi puak teroris. Afghanistan dan Iraq khususnya dijajah, kerajaan Taliban dan kerajaan Saddam Hussein ditumbangkan dan AS langsung melantik kerajaan baharu yang mesra AS. Manakala di Yemen dan Syria, perang saudara tercetus dan berlanjutan sehingga kini.

Tindakan AS  dilihat mengulang kembali perlakuan sama yang mendatangkan rasa tidak senang dunia Islam terhadap AS. Perang Terhadap Keganasan mungkin ada asasnya, tetapi bagaimana ia dilakukan menimbulkan persoalan besar. Sebagai contoh, serangan ke atas Iraq dibuat atas alasan wujudnya senjata pemusnah besar-besaran (Weapon of Mass Destruction) milik rejim Saddam. Ia kemudiannya hanyalah propaganda yang dimainkan AS bagi membolehkan ia menyerang Iraq.

Di Afghanistan pula, walaupun Taliban ditewaskan dan Al Qaeda berjaya dilumpuhkan dengan kemuncaknya bila ben Laden dibunuh, ia masih belum cukup untuk menjamin keadaan yang lebih baik buat negara itu. Demokrasi AS dibawa ke Afghanistan tetapi ia dicemari unsur pilih kasih, rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya. Kerajaan Afghanistan yang ada dilihat sebagai boneka AS dan bukanlah sebuah kerajaan yang benar-benar mewakili aspirasi rakyat Afghanistan.

Kegagalan inilah yang akhirnya membawa kepada tumbangnya kerajaan pilihan AS di Afghanistan, yang berlaku sekelip mata sebaik sahaja AS mengambil keputusan mengundurkan bala tenteranya dan membuka ruang buat Taliban kembali mengisi vakum kuasa yang wujud. Kembalinya Taliban di Afghanistan tidak mustahil akan melahirkan kembali satu lagi puak teroris seperti Al Qaeda.

Petanda sepertinya sudah jelas kelihatan. Di Iraq, Syria dan beberapa bahagian negara Arab lain, campur tangan AS dan huru-hara yang timbul telah mencambahkan kelompok ekstremis dan gerakan teroris seperti ISIS.

Walaupun dalam tempoh 20 tahun selepas 9/11 belum pernah berlaku serangan teroris berskala besar di bumi AS, ia bukanlah bermakna tidak ada pihak yang tidak mampu dan tidak berani untuk melakukannya. Bahkan tidak mustahil perancangan untuk serangan teroris sedemikian sedang berlaku dan hanya menunggu peluang terbuka untuk ia dilaksanakan.

Kesimpulannya, selepas 20 tahun sejak 9/11, AS masih dilihat gagal mengubah dirinya sendiri. Sikap berat sebelah seperti memihak lebih banyak pada Israel dalam setiap konflik dengan Palestin antaranya ibarat sumbu yang terus menyalakan api terorisme.

Kita menolak sebarang bentuk keganasan atau terorisme. Kita semua tidak mahu 9/11 berulang kembali. Tetapi selepas 20 tahun dan melihat kepada bagaimana perang terhadap keganasan AS telah menimbulkan lebih banyak huru-hara, sukar untuk kita menjangkakan semuanya adalah baik belaka.

Kembalinya Taliban ke puncak kuasa di Afghanistan mungkin petanda awal sempena genapnya 20 tahun 9/11 bahawa ancaman terorisme masih belum padam sepenuhnya.

Komen