175 Tahun The Communist Manifesto

175 tahun yang lalu pada 21 Februari 1848, The Communist Manifesto telah diterbitkan. Ia adalah hasil tulisan bersama Karl Marx dan Friedrich Engels, dua ahli falsafah Jerman. The Communist Manifesto adalah merupakan dokumen yang diterbitkan sebagai asas kepada Communist League dan kelahirannya menggemparkan dunia borjuis ketika itu. Buat pertama kalinya satu kritikan analitikal dibentangkan terhadap kapitalisme dan idea perjuangan kelas dicetuskan. Manifesto ini akhirnya menyeru kepada revolusi komunis di seluruh dunia.

Manifesto ini boleh dipecahkan kepada pendahuluan dan empat bahagian lain. Bahagian pendahuluannya mengungkap frasa “satu momokan sedang menghantui Eropah – momokan komunisme”, merujuk kepada bagaimana pihak penguasa dan parti politik lain sewenangnya melabel pihak lawan mereka sebagai komunis. Komunisme menjadi momokan tetapi Marx dan Engels mendesak melalui manifesto mereka agar komunisme diakui sebagai satu kuasa politik yang baharu.

Tawaran Manifesto

Empat bahagian lain dalam manifesto ini menggariskan dengan jelas hala tuju komunisme. Bahagian pertama iaitu ‘Borjuis dan Proletariat’ membicarakan tentang bagaimana perjuangan yang pernah berlaku dalam sejarah adalah perjuangan kelas, antara majoriti yang dieksploitasi oleh minoriti yang menindas. Bahagian kedua pula menyentuh ‘Proletariat dan Komunis’ dalam membicarakan hubungan komunis dan kelas pekerja. Ia juga turut menggariskan idea-idea tentang cukai pendapatan, penghapusan hak milik peribadi dan harta pusaka, pendidikan percuma, nasionalisasi pengangkutan awam dan utiliti lainnya serta meluaskan tanah milikan awam.

Bahagian ketiga manifesto itu pula mengulas tentang ‘Sastera Komunis dan Sosialis’ dan cuba membezakan antara sosialisme dan komunisme pada era tersebut, dengan sosialisme dilihat lebih bersifat reformis sedang komunisme mendorong ke arah revolusionis. Bahagian keempat dan terakhir membicarakan ‘Kedudukan Komunis berhubung kait dengan Parti Oposisi Lain’. Bahagian ini mengulas tentang perjuangan melawan borjuis yang sedang berlaku di beberapa negara Eropah dan meramal bahawa revolusi sedunia bakal meletus.

Reaksi Dunia

Justeru tidaklah menghairankan penerimaan pihak penguasa, golongan pemodal dan kelas pekerja pada ketika itu adalah satu kejutan budaya. Manifesto ini menyeru kepada penggulingan semua kondisi sosial melalui revolusi sedunia, seperti yang dicetak jelas dalam perenggan akhir manifesto itu.

Komunis di setiap negara dilabel sebagai penjenayah dan diberkas. Revolusi Jun 1848 di Perancis yang gagal menjadi titik tolak kepada terbubarnya Communist League. Beberapa siri revolusi lain pada tahun yang sama di Jerman, Itali, Hungary, Denmark, Poland dan lain-lain menjadi alasan untuk penguasa menangkap seramai mungkin komunis.

Momokan komunisme dan penangkapan berskala besar para aktivis komunis mengakibatkan dua puluh tahun selepas ia diterbitkan, The Communist Manifesto hampir sahaj terkubur. Tiada lagi cetakan manifesto yang tersebar dan buat seketika dunia menanggapi bahawa komunisme sudah menemui ajalnya.

Ia berubah pada tahun 1917 apabila Revolusi Oktober melanda Rusia dan Bolshevik di bawah pimpinan Vladimir Ilyich Lenin berjaya menubuhkan negara komunis pertama dengan nama Kesatuan Soviet. The Communist Manifesto kembali dicetak dan disebarkan ke serata dunia dalam usaha Kesatuan Soviet meluaskan perjuangan komunisme mereka di peringkat global.

Sejauh manakah Kesatuan Soviet boleh dinobatkan sebagai negara komunis tulen dan selari dengan landasan dalam The Communist Manifesto adalah satu perbincangan yang mungkin boleh kita ulas dalam penulisan yang lain.

Idea Yang Mendahului Zaman

Lontaran idea dalam The Communist Manifesto mungkin boleh dilihat agak terkehadapan apabila ia kali pertama diterbitkan 175 tahun yang lalu. Tetapi para era moden kini, kita mungkin dapat melihat bagaimana pemikiran Marx dan Engels sebenarnya telah menjangka semua yang akan berlaku dalam dunia dikongkong kapitalisme.

The Communist Manifesto ditulis dan diterbitkan pada tahun 1848 ketika kapitalisme masih lagi di peringkat awal kelahirannya. Revolusi Industri baru sahaja mencapai kemuncaknya sejak bermula pada tahun 1760 dan ekonomi dunia sedang menyaksikan permulaan perdagangan dan perindustrian yang berpaksikan modal. Hanya di Amerika Syarikat, United Kingdom dan beberapa negara Eropah barat yang telah mencapai status negara perindustrian dimana kaum pemodal menguasai pasaran dan monopoli tenaga buruh berlaku secara meluas.

Tetapi ketika kapitalisme masih baru setahun jagung inilah Marx dan Engels telah menjangka sebuah dunia dengan ekonomi yang dimonopoli oleh kumpulan kecil minoriti dan kerajaan yang tunduk pada desakan kaum pemodal. Jangkaan Marx dan Engels terbukti benar kerana kita melihat sendiri dunia hari ini yang dikuasai oleh syarikat multinasional dan kerajaan yang lebih mengutamakan syarikat berbanding rakyatnya sendiri.

Seruan dalam The Communist Manifesto agar kelas pekerja merampas kembali hak mereka masih relevan sehingga kini. Di serata dunia dalam setiap masa, kita masih lagi melihat pertentangan antara pekerja dan majikan, eksploitasi buruh serta usaha dan perjuangan untuk hak-hak pekerja yang lebih adil dan saksama.

The Communist Manifesto ketika kali pertama diterbitkan 175 tahun yang lalu mencadangkan beberapa dasar yang memihak kepada golongan proletariat. Cukai pendapatan yang progresif, nasionalisasi pengangkutan awam, utiliti dan komunikasi, pemansuhan hartanah peribadi, pemansuhan harta pusaka, pendidikan percuma dan penghapusan buruh kanak-kanak serta pemilikan awam tanah atau kilang adalah antara tuntutan dasar yang terkandung dalam The Communist Manifesto. Ia sesuatu yang pelik dan luar biasa pada tahun 1848, tetapi hari ini 175 tahun kemudian kita melihat bagaimana kesemua tuntutan dasar ini diguna pakai di sesetengah negara atau menjadi antara agenda perjuangan utama rakyat di negara yang belum melaksanakannya.

Membaca atau menulis tentang The Communist Manifesto mungkin sesuatu yang agak sensitif kerana kita mudah sahaja dilabel sebagai komunis. Tetapi hakikatnya kita tidak perlu menjadi seorang komunis untuk mengakui bahawa lontaran idea dalam manifesto itu adalah satu catatan mendahului zaman yang masih kekal relevan hingga kini.

Maka tidak menghairankan bagaimana The Communist Manifesto menjadi salah satu dokumen yang tersenarai dalam Warisan Ingatan Dunia oleh UNESCO. Bahkan manifesto itu diiktiraf ramai sebagai antara dokumen terpenting abad ke-19 dan masih berperanan besar hingga kini walaupun pada satu masa dunia komunisme hampir lenyap dengan tumbangnya Kesatuan Soviet dan blok komunis yang lain.

Terima kasih Marx dan Engels atas manifesto yang kekal relevan dan terus menjadi panduan perjuangan kelas pekerja hingga ke hari ini.

Pekerja sedunia, bersatulah!

Komen