Sejumlah 1,147 hantaran (posting) di media sosial telah diturunkan oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sepanjang tahun ini setakat 15 November 2023.
Perkara ini didedahkan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Puan Teo Nie Ching dalam perbahasan di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Seperti diduga, aplikasi Tiktok mendahului aplikasi media sosial lain apabila mencatatkan sejumlah 804 hantaran yang diturunkan oleh pihak SKMM.
Ia diikuti oleh aplikasi Facebook yang mencatatkan 195 hantaran diturunkan oleh pihak SKMM.
Aplikasi lain seperti X (dahulunya Twitter) merekodkan 7 hantaran diturunkan manakala Instagram dan Youtube masing-masing mencatatkan 9 hantaran.
Sejumlah 123 lagi hantaran yang diturunkan oleh SKMM adalah terdiri dari pelbagai aplikasi dan platform media sosial lain.
SKMM bertanggungjawab menjalankan fungsi-fungsinya melalui kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].
Seksyen 233, Akta 588 memperuntukkan kesalahan bagi penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain, bagi membuat, mewujudkan, meminta-minta, dan memulakan penghantaran kandungan yang lucah, sumbang, palsu, mengancam dan jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.
Jika disabit kesalahan, individu boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Justeru berhati-hatilah ketika membuat sebarang hantaran di media sosial dan semak segala maklumat yang diterima untuk memastikan kesahihan agar diri sendiri tidak terperangkap di kemudian hari.