11.11 Dalam Politik Malaysia

Sejak kebelakangan ini, semenjak bermulanya era jual beli dalam talian atau juga disebut e-dagang atau e-runcit, tarikh 11 November atau secara komersil ditulis 11.11 kerap menjadi tumpuan ramai kerana pesta jualan pada tarikh keramat ini. Apa yang sebenarnya berasal dari China sebagai jualan Singles Day (angka 1 mewakili simbol single) kini telah merebak di seluruh Asia selepas diperkenalkan oleh platform seperti Lazada dan Shopee.

Lantaran, generasi Malaysia hari ini mengenali 11.11 atau 11 November sebagai hari untuk membeli barang secara dalam talian. Akan tetapi tarikh 11 November telah lama sebelum ini mencatatkan satu lagi detik sejarah penting sejak tahun 1955. Kerana pada tarikh inilah 65 tahun yang lalu sebuah parti politik telah ditubuhkan dengan nama Partai Ra’ayat. Hari ini, ia dikenali dengan nama Parti Rakyat Malaysia (PRM).

PRM adalah salah satu parti tertua dalam arena politik Malaysia. Akar kewujudannya boleh ditelusuri hingga ke pergerakan seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang berhaluan kiri  dan ditubuhkan sejak 1938, lama sebelum wujudnya UMNO. KMM kemudiannya dibubarkan dan diganti dengan Parti Kebangsaan Melayu Malaya pada tahun 1945, yang walaupun namanya hampir menyamai UMNO dalam bahasa Melayu tetapi ianya adalah berbeza.

Namun sifat PKMM yang berhaluan kiri dan juga banyak terpengaruh dengan gerakan nasionalisme Indonesia tidak kena pada selera kolonialis British yang masih memerintah Malaya ketika itu. Lalu PKMM dibubarkan pada tahun 1948 dan kebanyakan pemimpinnya dipenjarakan oleh British atas alasan terlibat dalam komunisme atau gerakan anti penjajah. Antara yang dihumban ke dalam penjara adalah Dr. Burhanuddin al-Helmy (Ketua Umum), Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako (Timbalan Ketua) dan Ahmad Boestamam (Ketua Pemuda). Penahanan mereka mengakibatkan PKMM terkubur sebagai satu wadah politik di Tanah Melayu.

Setelah dibebaskan, ketiga pemimpin ini bagaimanapun membawa haluan politik masing-masing. Dr. Burhanuddin al-Helmy menubuhkan Pasti Islam se-Malaya (PAS), Pak Sako mengasaskan Parti Buruh Malaya manakala Ahmad Boestamam mendirikan Partai Ra’ayat.

Ideologi Partai Ra’ayat pimpinan Ahmad Boestamam masih tidak jauh berbeza dengan PKMM atau KMM. Ia masih berhaluan kiri, dengan mengangkat ideologi demokrasi sosial dan juga fahaman Marhaenisme, yang diperkenalkan oleh Sukarno. Marhaenisme adalah idelogi politik Marxisme mengikut acuan Indonesia.

Pilihan raya umum pertama selepas kemerdekaan iaitu pada tahun 1959 menyaksikan Boestamam membawa Partai Ra’ayat untuk bergabung dengan Parti Buruh Malaya dalam gabungan politik bernama Fron Sosialis Rakyat Malaysia (FSRM). FSRM adalah satu-satunya gabungan politik selain Perikatan yang terdiri dari UMNO, MCA dan MIC. FSRM menang 8 kerusi parlimen, 6 melalui Parti Buruh Malaya dan baki lagi 2 oleh Partai Ra’ayat. Dalam Dewan Rakyat. FSRM adalah blok politik ketiga terbesar selepas Perikatan dengan 74 kerusi dan PAS dengan 13 kerusi.

Meletusnya Konfrontasi pada tahun 1963 kesan dari rancangan pembentukan Malaysia mengakibatkan kucar-kacir dalam Partai Ra’ayat dan juga FSRM. Parti-parti pembangkang yang berhaluan kiri dan cenderung dipengaruhi fahaman politik Sukarno dituduh sebagai simpatisan Indonesia lalu ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Sekali lagi, Ahmad Boestamam dan Pak Sako dipenjarakan dan kesannya pada pilihan raya umum 1964, FSRM kehilangan 6 dari 8 kerusi yang mereka miliki.

Ketiadaan barisan pimpinan mengakibatkan Partai Ra’ayat dan FSRM hilang taring ketika pilihan raya umum 1964. FSRM dibubarkan pada tahun 1966, manakala Partai Ra’ayat diambil alih oleh pucuk pimpinan baharu yang diketuai oleh Kassim Ahmad. Kassim Ahmad kemudiannya menukar nama Partai Ra’ayat kepada Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) untuk menonjolkan ideologi sosialis parti sebagai alternatif pada politik kaum dan agama yang meluas di Malaysia.

PSRM bertanding dalam pilihan raya umum 1969, tetapi gagal memenangi sebarang kerusi. Rusuhan kaum yang berlaku selepas itu mengakibatkan pimpinan PSRM sekali lagi dipenjara menggunakan ISA dan tindakan ini terus melemahkan parti tersebut dan juga fahaman sosialisme yang makin tersisih dari arus politik negara. PSRM bagaimanapun masih terus bertahan untuk dua dekad lamanya sebelum ia sekali lagi melalui proses perubahan drastik pada tahun 1989.

Di bawah kepimpinan Syed Hussein Ali, PSRM kembali kepada nama asal mereka dengan menggugurkan perkataan ‘sosialis’ tetapi kekal menerima pakai nama ‘Malaysia’. Maka ia dikenali dengan nama baharu iaitu Parti Rakyat Malaysia (PRM). Akan tetapi perubahan ini tidak berlaku tanpa sebarang tentangan. Kontroversi perubahan nama membawa kepada perpecahan dalaman parti. Prof. Dr. Mohd Nasir Hashim membawa ‘blok sosialis’ dalam PRM keluar lalu menubuhkan Parti Sosialis Malaysia pada tahun 1998.

Tindakan ini sekali lagi melemahkan PRM, walaupun pada ketika itu PRM merupakan sebahagian dari gagasan politik tidak rasmi bernama Barisan Alternatif bersama Parti Keadilan Nasional, DAP dan PAS. Usai pilihan raya umum 1999, wujud cadangan untuk menggabungkan PRM dan Keadilan menjadi satu parti politik. Syed Hussein Ali yang memimpin PRM memberi persetujuan dengan idea penggabungan ini. Selepas melalui proses perbincangan yang rumit dan panjang, akhirnya persetujuan dicapai dan penggabungan kedua parti dimuktamadkan pada tahun 2003 di bawah nama baharu iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Adakah PRM yang sebenar telah terkubur? Tidak. Penggabungan PRM dan Parti Keadilan Nasional juga tidak terlepas dari tentangan dari kalangan ahli parti yang masih mahu PRM kekal seperti asal. Kelompok yang menolak PRM bergabung dengan parti pimpinan Anwar Ibrahim memilih untuk kekal menghidupkan PRM sebagai sebuah parti mandiri. Lantaran pada tahun 2005 dalam sebuah Kongres Kebangsaan di Johor, PRM hidup kembali dengan barisan kepimpinan baharu diketuai oleh Hassan Abdul Karim.

Pun begitu, berselang 4 tahun kemudian Hassan Abdul Karim keluar dari PRM untuk menyertai PKR setelah usaha beliau membawa PRM menjadi sebahagian dari gabungan Pakatan Rakyat gagal. Sekali lagi PRM kehilangan pemimpin, sekali lagi ia dilemahkan tetapi PRM masih kekal wujud. Malah pada pilihan raya umum 2018 yang sengit, PRM turut bertanding di kerusi parlimen dan DUN walaupun kesemua calonnya tewas.

Hari ini PRM dipimpin oleh wanita selaku presiden parti, iaitu Dr. Rohana Ariffin. Liku-liku dan pancaroba yang dilalui selama 65 tahun tidak dapat mematikan PRM. Ada segelintir yang menyindir PRM sebagai parti kepala kerbau yang ‘hidup segan, mati tak mahu’. Jika dilihat betapa banyaknya parti yang muncul kemudian dari PRM dalam persada politik tanah air tetapi lebih awal terkubur (Semangat 46, Parti Negara, IMP dan sebagainya), maka kita tidak boleh tidak meletak rasa hormat pada PRM di atas keupayaannya untuk terus hidup.

Saya percaya, PRM kekal bernafas kerana ia sebuah parti yang berasaskan kepada satu ideologi yang tidak lekang dek panas, tidak lapuk dek hujan. PRM bukan parti serpihan, bukan parti bertunggangkan bangsa atau agama dan bukan parti yang menjadi tiket untuk politikus mendapat kuasa dan laba. Sebaliknya PRM, sejak dari 11 November 1955 diasaskan berdasarkan pada prinsip politik berhaluan kiri, sosialisme dan marhaenisme merentas garis bangsa atau agama.

Sejarah dunia politik banyak mencatatkan kisah parti-parti yang hampir terkubur, nyawa-nyawa ikan dan tanpa kerusi bertahun lamanya, tetapi pada satu masa dan ketika bangkit kembali menjadi parti yang besar. Maka jangan ada sesiapa pun yang menganggap mudah parti kepala kerbau ini tidak boleh bangkit kembali atau bertahan untuk 65 tahun lagi.

Hidup rakyat!

Komen