Hari ini, kita menyambut cuti umum 1 Mei yang merupakan Hari Pekerja atau Hari Buruh.
Istilah ‘pekerja’ dan ‘buruh’ sebenarnya adalah hampir sama. Tetapi di Malaysia kita lebih cenderung menggunakan Hari Pekerja apabila merujuk 1 Mei, walaupun pada waktu awal Merdeka istilah Hari Buruh lebih banyak digunakan. Pemilihan ‘pekerja’ berbanding ‘buruh’ mungkin kerana ianya dilihat lebih meluas merangkumi setiap jenis pekerjaan, berbanding istilah ‘buruh’ yang lazim dikaitkan dengan pekerjaan berat seperti buruh binaan atau buruh ladang.
Di negara-negara lain di dunia, pemilihan nama juga berbeza-beza mengikut negara. Workers’ Day adalah nama yang kerap digunakan untuk 1 Mei di negara kapitalis atau pasaran ekonomi bebas. Manakala di negara sosialis atau komunis dan negara yang mempunyai tradisi kesatuan sekerja yang kuat, nama Labour Day digunakan.
Konsep pekerjaan yang ada pada hari ini tidak sama dengan perlakuan bekerja yang wujud sejak awal tamadun manusia bermula. Manusia asalnya bekerja untuk ikhtiar hidup, melalui aktiviti seperti memburu atau merambah (foraging) iaitu mencari makan dari sumber liar.
Apabila tamadun manusia mula mendalami ilmu seperti bertani dan beternak, maka dunia bekerja itu berubah kepada aktiviti bercucuk tanam atau menjaga haiwan ternakan. Manusia tidak lagi memburu atau merambah, tetapi bertani dan beternak sebagai usaha ikhtiar hidup mereka.
Konsep ini berterusan hinggalah konsep modal atau sumber kewangan mula diguna pakai dalam ketamadunan kita. Ada segelintir manusia yang mempunyai sumber wang untuk memulakan perusahaan atau perniagaan mereka, tetapi tiada atau tidak tidak cukup kemahiran atau kudrat untuk melakukan kerja-kerja perusahaan atau perniagaan itu.
Mereka ini (kaum pemodal) akhirnya mengupah manusia lain untuk bekerja bagi pihak mereka. Orang yang bekerja ini dibayar upah, atau dalam kes tertentu dipaksa bekerja sebagai hamba dan dibayar dengan cara diberikan tempat tinggal dan makanan ala kadar. Orang yang bekerja ini bukan sahaja sebagai petani atau penternak, tetapi juga semakin luas skop kerjanya sama ada sebagai buruh binaan, tentera upahan, kelasi kapal, pelombong mineral dan banyak lagi.
Apabila kaum pemodal mula menceburi perusahaan berskala besar sesuai dengan datangnya Revolusi Perindustrian, pekerja diupah untuk bekerja di kilang-kilang perusahaan ini bagi menghasilkan produk untuk dijual di pasaran.
Pada masa inilah, konsep pekerjaan itu mula menyerupai seperti apa yang kita ketahui hari ini. Akan tetapi kondisi pekerjaan dan kebajikan pekerja pada masa itu tidaklah sebaik dan terjaga seperti apa yang kita nikmati sekarang.
Maka bermula perjuangan dari golongan pekerja untuk menuntut hak mereka sebagai pekerja. Ada sekian banyak kepincangan yang menjadi titik perlawanan ketika itu. Gaji bermaruah, masa bekerja, bayaran sekata untuk lelaki dan wanita, kebajikan pekerja yang lain seperti perumahan, kesihatan dan sebagainya antara yang menjadi isu diperjuangkan oleh kelas pekerja.
Perjuangan golongan pekerja atau buruh dalam menuntut hak mereka adalah satu perjuangan yang panjang jalannya. Tetapi satu titik perlawanan penting yang menjadikan tarikh 1 Mei sebagai tarikh keramat Hari Pekerja atau Hari Buruh adalah perjuangan menuntut masa bekerja 8 jam sehari berbanding masa bekerja selama 10 hingga 16 jam sehari yang diamalkan ketika itu.
Kenapa 8 jam?
Kerana ia adalah masa bekerja yang adil untuk pekerja. Lapan jam sehari mewakili satu pertiga dari masa sehari selama 24 jam. Lapan jam masa bekerja juga bermakna setiap dari kita mempunyai masa selama lapan jam untuk tidur atau berehat dan lagi lapan jam untuk riadah atau aktiviti yang lain.
Tentu sekali, had masa bekerja lapan jam sehari ini tidak diguna pakai sepenuhnya di seluruh dunia dalam setiap bidang pekerjaan. Tetapi ia menjadi panduan meluas dalam kebanyakan pekerjaan, dan menjadi undang-undang buruh yang diterapkan di sesetengah negara. Bahkan di sesetengah negara, ada usaha untuk mengurangkan lagi tempoh masa bekerja, sama seperti usaha-usaha dibuat untuk mengurangkan hari bekerja dari 6 atau 5 hari seminggu kepada hanya 4 hari seminggu.
Hari ini, 1 Mei bukan sahaja tarikh untuk kita memperingati perjuangan kelas pekerja dahulu, atau sebagai hari cuti umum kita berehat dari bekerja. Tetapi 1 Mei juga harus menjadi sandaran buat kita kekal komited dalam menuntut hak pekerja yang lebih adil, saksama dan jauh lebih bermaruah.
Selamat Hari Pekerja!

Demokrat sosial. Pengerusi DAP Taman Kemuncak dan Pengerusi Pertubuhan Solidaritas. Sudah berkahwin.